Thursday 22 September 2011

Nuzul Al-Quran


Salam kepada semua. Hari Nuzul Quran merupakan salah satu hari yang istimewa untuk umat Islam. Mengapa? Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada hari ini, menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Nuzul bermaksud turun dan Al-Quran bererti himpunan.

Kita seharusnya berbangga dengan agama Islam dan ajarannya kerana Islam adalah sebuah agama yang lengkap dan mudah. Mudah di sini membawa maksud Allah tidak pernah menyusahkan hamba-hamba-Nya yang menurut perintahnya. Seandainya kita ikhlas untuk mendalami ajaran Islam, kita akan dapati bahawa Islam ini sangat mudah tetapi membawa impak yang besar dan menenangkan.

Al-Quran merupakan mukjizat terbesar Rasulullah s.a.w. Kita sebagai umat Islam, seharusnya berusaha untuk mendalami dan memahami isi Al-Quran. Terdapat banyak rahsia yang terkandung di dalam Al-Quran. Seandainya kita betul-betul memahami Al-Quran ini, kita akan merasa takut untuk melakukan walau secebis dosa di dunia ini.

Tentunya ada rakan-rakan saya yang tertanya-tanya, mengapa saya tiba-tiba membangkitkan topik ini? Bagi saya, tiada salahnya jika sekali-sekala saya mencoretkan topik-topik seperti ini, khusus untuk renungan kita bersama. Mungkin coretan ini boleh membantu kita semua membaiki diri untuk menjadi insan yang lebih baik dari semalam.

Bagi diri saya, saya sentiasa berdoa dan memohon kepada Allah s.w.t supaya dapat mengampunkan dosa-dosa saya yang lalu, sama ada yang pernah saya lakukan dengan sengaja atau tidak. Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, bersama-samalah kita berusaha untuk merebut keampunan-Nya.
Waallahualam

No comments:

Post a Comment