Thursday 22 September 2011

Semoga Allah membantu mereka

Salam Ramadhan...Alhamdulillah, bertemu lagi kita pada coretan yang seterusnya. Setakat ini, tiada apa yang menarik perhatian saya. Cuma semalam, seorang pekerja saya mengutarakan tentang satu video yang menunjukkan betapa dhaifnya anak-anak di Somalia. Saya lihat video itu dan termenung. Betapa tidak bersyukurnya kita yang hidup di Malaysia ini. Mengapa saya katakan begitu?

Kerana anak-anak di sana kelaparan, tidak punya makanan. Sedangkan pengemis di Malaysia ini pun masih lagi punya makanan. Masih lagi mampu mencari walau sesuap nasi.

Tetapi kanak-kanak di Somalia kebuluran, bahkan setiap 6minit, pasti ada seorang kanak-kanak yang meninggal dunia. Betapa dahsyatnya tahap kebuluran di tempat mereka.

Saya panggil anak saya untuk sama-sama menonton dan dia mengalirkan air mata ketika melihat video itu. Hanya 1 ayat yang keluar dari mulutnya " Abah, sedihnya tengok diorang macam tu..." Saya hanya mampu diam. Namun saya sempat menasihatinya supaya berubah, jangan suka membazir makanan lagi. Walau serbuk biskut pun kita perlu makan. Dia mengangguk, bersetuju dengan saya.

Bila terkenangkan waktu susah saya dahulu saya bersyukur kepada ALLAH kerana kini saya tahu, masih ada lagi yang lebih sengsara daripada saya. Saya tahu yang saya tidak boleh merungut lagi seandainya ditimpa kesusahan.

Bayangkan pula perasaan ibu dan bapa di Somalia yang terpaksa melihat anak-anak mereka kebuluran, menangis kehausan dan melihat anak mereka mati tetapi tiada apa yang dapat mereka lakukan. Kita di Malaysia ini pun, sedih seandainya anak kita merengek kelaparan. Apatah lagi mereka di sana.

Doa saya, semoga ALLAH s.w.t dapat mengurangkan kesengsaraan mereka dan memberikan rezeki yang melimpah ruah kepada mereka. Kepada saudara-saudara se-Islam yang lain, marilah kita sama-sama berdoa untuk kesenangan mereka...

Wallahu'alam....

No comments:

Post a Comment